JUN 2022

Sarawak Perlu Lebih Ramai Pekerja Mahir


KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa pelajar tempatan meneruskan pengajian dalam bidang kemahiran teknikal dan teknologi sebagai persediaan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam industri berkaitan di negeri ini.

Katanya, dengan pelaburan asing yang masuk ke negeri ini, Sarawak dijangka memerlukan lebih ramai pekerja mahir dalam bidang teknikal dan teknologi.

Oleh itu, Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 600 jurutera kimia sebaik sahaja loji rawatan gas asal di Taman Perindustrian Petrokimia Bintulu mula beroperasi, katanya merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak di Yayasan Sarawak di sini.

Sebagai persediaan katanya, Sarawak memerlukan lebih ramai bakat tempatan yang mahir dalam bidang teknikal dan berpengetahuan teknologi sejajar dengan perkembangan di dunia hari ini.

Menurut beliau, terbaharu, Sarawak mendapat perhatian pelabur daripada Thailand apabila mereka bersetuju menjalinkan kerjasama dengan Petronas untuk memisah dan membangunkan gas asal dengan karbon dioksida dipecahkan bagi menghasilkan gas asal.

Jalinan kerjasama antara syarikat Thailand dan Petronas itu memerlukan 600 jurutera kimia, katanya dan menambah, bagi Sarawak bagaimana hendak mendapatkan 600 jurutera berkenaan.

Keperluan 600 jurutera kimia itu hanya untuk sebuah loji dan bagaimana pula sekiranya Sarawak memiliki dua loji kerana Shell juga menaruh minat untuk membangunkannya di sini, tegas beliau.

“Seramai 1,200 jurutera dan ahli kimia mana kita hendak cari? Letak orang luar, orang Sarawak merungut sebab kita ambil orang luar sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan mengeluarkan visa kerja lima tahun kepada pakar asing supaya mereka boleh tinggal dan melatih rakyat Sarawak.

“Apabila lima tahun mereka tamat dan pulang ke negara sendiri, rakyat tempatan kita sudah mempunyai kemahiran dan pengetahuan.

“Di situlah pemindahan teknologi dan pengetahuan berlaku dan orang kita sendiri akan mengambil alih tugas itu,” katanya dan menjelaskan, loji itu beroperasi melibatkan pengasingan unsur gas asli.

“Gas asal adalah proses di mana kotoran dikeluarkan daripada gas. Biasanya karbon dioksida, yang kemudiannya boleh disimpan ke dalam tanah,” katanya.

GAMBAR:JAPEN

Sumber dari : Jiwa Bakti